• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Pameran Kelingkan, Rahsia Di Sebalik Tudung Emas


KUALA TERENGGANU, 2 April - Hampir 200 seni sulaman kelingkan yang bernilai antara RM500 hingga RM32,000 dipamerkan pada Pameran Kelingkan, Rahsia Di Sebalik Tudung Emas anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Pengarahnya, Che Muhammad Azmi Ngah berkata, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan program itu kerana mahu memperkenalkan kepada masyarakat setempat, selain ingin membantu mereka yang meminati seni sulaman bagi menceburi bidang itu.

Katanya, beliau percaya, pastinya ramai yang tidak mengenali keunikan seni sulaman kelingkan yang hampir 300 tahun sudah bertapak di beberapa negeri termasuk Terengganu.

“Malangnya di Terengganu, seni itu sudah pupus, tiada generasi yang mahu menyambungnya kecuali ada sebilangan kecil pengusaha di Kelantan, Selangor dan
Sarawak yang masih kekal.

“Menyedari hakikat itu, pihak kami terpanggil menganjur pameran itu dengan mengadakan kerjasama dengan pengumpul koleksi kelingkan, John Ang dari Amerika,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kelingkan, di Muzium Negeri, Losong, di sini hari ini.

 
Majlis itu dirasmikan isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Abd Rahman.

Tuan Faizah berkata, hanya mereka yang mengetahui keindahan dan keunikan sulaman kelingkan sanggup menempah material berkenaan.

“Ini kerana harga sehelai selendang yang telah dijahit sulaman kelingkan ialah antara RM500 sehingga RM5,000 bergantung pada ketebalan motif,” katanya.

Sementara itu, John Ang berkata, terdapat beberapa motif kelingkan iaitu sembilu kasih, teratai, cempaka, bunga cengkih, cempaka hitam, bunga semangat, bunga matahari, semalu, bunga ros bersegi dan banyak lagi.

Katanya, corak yang ingin disulam pada kain akan dilukis di atas kertas sebelum diletakkan di bawah kain bagi tujuan menyulam dan teknik jahitan sulaman itu dikenali sebagai tikam tembus.

 ''Untuk siapkan sehelai selendang mengambil masa sebulan ke atas, bergantung kepada motif.


 ''Sulaman akan dijahit di atas kain chiffon, kain kapas atau voile kerana kain jenis ini lembut. Pelanggan akan menempah selendang panjang hingga ke paras pinggang, selendang pendek yang menutupi bahu atau tudung berbentuk empat segi,'' katanya.


Tag: