• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Panasonic Tawar Kerja Kosong, Anak Terengganu Diutamakan

KUALA TERENGGANU, 29 September – Syarikat gergasi Jepun, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) buat julung kali mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri membuka peluang pekerjaan bagi rakyat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, syarikat elektronik yang memfokuskan pengeluaran penghawa dingin itu memerlukan tenaga tempatan setelah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Katanya, PAPAMY mempunyai 800 kekosongan dengan lebih 500 daripadanya memerlukan pekerja dengan kadar segera.

“Sebuah Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) telah dijalin bagi pembekalan tenaga daripada anak-anak Terengganu yang berkelayakan,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Menurutnya, syarikat Jepun tersebut amat positif dalam kolaborasi itu dan memberi keutamaan kepada Terengganu.

"Kami di peringkat pengurusan bersama T-HRDC serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membentuk pakej pekerjaan sesuai bagi proses seterusnya.

“Apa yang ditawarkan PAPAMY, T-HRDC akan menjadi platform untuk rakyat bagi memperoleh pakej tersebut dan melalui proses interview dan pengambilan kerja.

“Insya-Allah sebuah mekanisma baik akan dibentuk bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar pengangguran dalam negeri,” katanya lagi.

Tambahnya, antara jawatan pekerjaan ditawarkan seperti pengendali (operator) di kilang dengan gaji sehingga RM2,700 (termasuk elaun tambahan).

Terdahulu, sebuah majlis MoU diadakan di Seksyen 21, Shah Alam, Selangor yang dihadiri CEO T-HRDC, Tuan Aminuddin Bin Omar, manakala PAPAMY diwakili oleh Pengarah Urusannya, Toshikatsu Fukunaga.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.