• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Pantai Seberang Takir Bukan 'Pantai Miami'

Ariffin Deraman.
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Kerajaan negeri tidak meletakkan nama atau gelaran 'Miami Beach' bagi lokasi peranginan di Pantai Hulu Takir, Kuala Nerus yang terletak di sepanjang laluan menghala ke Jambatan Angkat (Drawbridge) yang merupakan mercu ikonik baharu negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, gelaran itu dilihat tidak sesuai kerana ia bukan menggambarkan identiti Terengganu.

"Gelaran itu diberikan oleh pengguna media sosial yang melihat rupa bentuk kawasan itu menyerupai pantai Miami di Florida, Amerika Syarikat.

"Mungkin individu yang memberikan gelaran tersebut kerana melihat kawasan itu mirip dengan lokasi peranginan di sana. Namun, nama itu bukan yang diperakui oleh kerajaan negeri. Kita tak 'endorse' pun nama tu.

"Setakat ini kita belum ada cadangan lagi bagi nama baharu untuk kawasan peranginan itu. Kalau diikutkan, nama bagi kawasan itu ialah Pantai Hulu Takir.

"Rakyat kita boleh mencadangkan nama yang sesuai untuk dipertimbangkan oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas tentang isu gelaran 'Pantai Miami' yang mendapat kecaman netizen selepas Program Tazkirah Bulanan Di Jabatan Kerajaan 2019 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sementara itu, menurut Ariffin, setakat ini tarikh pembukaan jambatan tersebut secara rasmi belum ditetapkan lagi.

"Ia mungkin memakan masa beberapa bulan untuk memastikan Drawbridge boleh digunakan untuk kemudahan rakyat dalam keadaan yang paling baik," ujarnya.

Jambatan Angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter itu mempunyai dua menara berkembar setinggi 16 tingkat.

Jambatan bernilai RM248 juta itu adalah yang keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini melibatkan Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Jambatan itu dibuka kepada orang ramai pada 2 hingga 17 Jun lalu untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.


Tag: