• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Paralimpik 2020 : Zulhairie Perbaiki Catatan Peribadi

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Atlet para berbasikal trek negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi bersyukur dapat memperbaiki catatan terbaik peribadi dalam acara 1,000 meter (m) ujian masa lelaki C4-5 pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, semalam.

Atlet kelahiran Terengganu itu mencatatan 1 minit 06.472 saat (s) untuk berada di tempat ke-10 daripada 21 peserta yang beraksi di Velodrom Izu, sekali gus memperbaiki catatan terbaik peribadinya 1:07s dalam satu kejohanan di Milton, Kanada pada Februari 2020.

"Alhamdulillah syukur untuk acara 1000m ini, saya rasa puas hati kerana apa yang disasarkan, saya dapat melakukannya dengan masa 1:06.472s. Bagaimanapun, saya dapat merasakan persaingan agak sengit untuk Paralimpik Tokyo ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Pingat emas dimenangi pelumba Sepanyol, Alfonso Cabello Llamas yang turut memecahkan rekod dunia dan Paralimpik dengan catatan 1:01.557s. Turut memecahkan rekod temasya acara berkenaan adalah pemenang perak dari Great Britain, Jody Cundy dengan catatan 1:02.529s.

Zuhairie selepas ini dijadual bergandingan bersama Muhammad Hafiz Jamali dan Mohamad Yusof Hafizi dalam acara pecut berpasukan campuran C1-5 750m esok.

"Bagi saya, untuk acara ini sekiranya semua pelumba boleh memberikan komitmen penuh, kami boleh memasuki final tiga dan empat. Ini adalah sasaran kami untuk berada di kedudukan ketiga dan keempat sekiranya berdasarkan catatan masa sebelum ini," katanya lagi.

Sementara itu, jurulatih kem berbasikal para negara, Sallehudin Mohd Noh berpuashati dengan pencapaian anak buahnya yang dapat memperbaiki catatan terbaik peribadi masing-masing.

"Alhamdulillah untuk pencapaian bagi atlet hari ini (semalam), masing-masing memperbaiki catatan peribadi mereka dengan baik.

"Walaupun sebelum ini mendapat kekangan semasa latihan di tanah air kerana PKP, tetapi atlet tetap menunjukkan kesungguhan untuk bersaing dan membuat catatan terbaik peribadi," jelasnya.

Terdahulu, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan insentif kepada atlet kelahiran Terengganu itu berjumlah RM30,000 sebagai membantu persiapan mereka menghadapi temasya tersebut.


Tag: