• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PAS Optimis Bersama Bersatu, Umno Dalam PRU15

KUALA TERENGGANU, 24 Februari - PAS optimis kerjasama parti itu dengan Bersatu dan Umno akan terus berjalan termasuk dalam mendepani Pilihan Raya Umum akan datang.

Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Bersatu dan Umno kini dilihat tidak sehaluan tetapi pihaknya yakin ia dapat diselesaikan dengan baik.

"Langkah akan diambil oleh barisan kepimpinan PAS, Bersatu dan Umno dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit.

"PAS sendiri sudah menyatakan pendirian mereka terhadap kepimpinan kedua-dua parti itu bagi menjamin keharmonian antara parti," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, pagi tadi.

Menjawab tuduhan pihak tertentu mengenai proses agihan kerusi antara ketiga-tiga parti menemui jalan buntu, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menafikan perkara tersebut.

"Dalam pendapat saya, situasi sekarang masih tidak buntu, dan pihak kami telah mengadakan dua pertemuan, jadi keadaan sekarang tidak boleh dikatakan menemui jalan buntu.

"Kita optimis dalam kerjasama ini supaya ia akan berjaya," jelasnya.

Katanya, itu adalah pandangan peribadi mereka dan sebagai kepimpinan utama semua pihak perlu mencari jalan terbaik.

Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, perbincangan dengan rakan sekutunya di Terengganu mungkin sudah menemukan jalan buntu berikutan Umno negeri itu menuntut 16 kerusi DUN dan empat parlimen.

Difahamkan tuntutan itu juga tidak selari dengan persetujuan agihan kerusi di peringkat pusat iaitu pengekalan status quo atau PAS dan Umno kekal bertanding di kerusi yang mereka menangi.