• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Pasar Payang 2 : Lanjutan Tempoh Berpindah Hingga 31 Julai

Foto oleh : Safwan Syakir.
KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Peniaga Pasar Payang diberikan tempoh lanjutan berpindah selama sebulan iaitu sehingga 31 Julai ini untuk berpindah ke Pasar Payang 2.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, Pasar Payang 2 yang menjadi lokasi sementara untuk mereka meneruskan aktiviti niaga akan beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos.

Jelasnya, tempoh itu diberikan berikutan wujudnya permintaan para peniaga untuk mereka membuat kerja-kerja pengubahsuaian di lot kedai mereka.

“Mereka sepatutnya berpindah 1 Julai lalu, tapi ada yang memerlukan masa seperti kedai emas dan kedai pakaian, mereka perlu buat renovasi bagi tujuan keselamatan. Mengambil kira faktor itu, kita benarkan tapi sehingga 31 Julai sahaja.

“Sebaik sahaja Pasar Payang dikosongkan sepenuhnya, kita akan meneruskan kerja seterusnya iaitu pembinaan semula Pasar Payang di tapak asal,” katanya ketika bersiaran di Manis FM kelmarin.

Mengulas mengenai isu keselamatan yang menjadi kebimbangan peniaga, Alias berkata, peniaga tidak perlu bimbang kerana pihaknya akan meletakkan pengawal di Pasar Payang 2.

“Kedai emas memang berbumbung kerana atas faktor keselamatan. Bagi lot kedai pula, walaupun tiada bumbung, tetapi masih di bawah bumbung besar, jadi bagi saya tiada masalah, lagipun ia hanyalah lokasi sementara," ujarnya.

Pada 24 Jun lalu, beliau memaklumkan Pasar Payang 2 sudah sedia untuk beroperasi dan akan dibuka pada 1 Julai.

Namun, segelintir peniaga melontarkan kebimbangan tentang isu keselamatan dan memohon agar tempoh masa untuk berpindah dilanjutkan.



Tag: