Pasar Payang Dijadikan Hab Digital Produk IKS

KUALA TERENGGANU, 16 April – Pendigitalan pemasaran dan penyelarasan antara agensi menjadi kunci utama dalam memperkukuh peranan Pasar Payang sebagai pusat rujukan dan hab utama produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, penggunaan platform digital secara meluas membolehkan produk usahawan Terengganu dipasarkan ke pasaran yang lebih luas, termasuk ke luar negara.

“MARA Terengganu sejak 2022 telah mewujudkan Payang Mall menerusi kaedah digital yang menyasarkan produk-produk usahawan Terengganu untuk dipasarkan secara dalam talian.

“Ia membantu usahawan memasarkan produk mereka dan seterusnya memudahkan orang ramai mendapatkan produk tulen Terengganu menerusi kaedah digital,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Katanya, perbincangan sedang diadakan antara MARA dan Cakna Sdn. Bhd. bagi menambahkan bilangan usahawan yang ingin memasarkan produk mereka secara digital.

“Kerajaan negeri wajar memainkan peranan penting dalam menjadikan Pasar Payang sebagai hab pemasaran, sama ada secara langsung atau menerusi kaedah masa kini iaitu secara digital,” ujarnya.

Ariffin menambah, Pasar Payang merupakan pusat sehenti bagi mendapatkan pelbagai produk usahawan Terengganu.

“Ia meliputi produk batik, songket, kraftangan, makanan tradisional, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), dan pelbagai lagi,” tambah beliau.


Tag: