• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

PAU 2017: Transformasi UMNO Tarik Golongan Muda

Iskandar Jaafar

UMNO kini sedang giat melakukan transformasi bagi menarik golongan muda untuk terus menyokong parti yang kini sudah melangkaui usia 71 tahun itu.

Exco Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiu, Mohd Iskandar Jaafar berkata, walaupun parti tersebut kini dilihat berusia namun kepimpinan sedang melakukan transformasi supaya kelihatan segar dan muda seiring dengan peredaran masa kini yang membawa inspirasi anak muda.

Katanya, golongan muda perlu memahami dan mendalami apa yang dilakukan oleh UMNO semuanya bermatlamat untuk memberi kesenangan kepada mereka pada masa akan datang.

"Melalui Transformasi Negara 50 (TN50) yang sedang dilakukan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak merangkumi semua aspek khususnya kepada golongan muda.

"Mereka (pemuda) perlu faham apa yang dilakukan kini bukannya sekadar retorik yang sering dimainkan oleh pembangkang. Apa yang kita buat adalah merangkumi untuk tempoh 30 tahun akan datang," katanya kepada Teganukita.

Beliau ditemui pemberita selepas ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2017 sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas ucapan dasar oleh Khairy, Iskandar berkata calon-calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang perlu melibatkan golongan muda.

Walaupun demikian, calon-calon lain juga perlu memainkan peranan bagi terus menarik belia untuk terus menyokong parti itu.

"Calon untuk PRU14 nanti perlulah terdiri daripada golongan yang segar. Paling tidak 30 peratus daripadanya adalah orang muda.

"Kepimpinan juga hendaklah selari dengan apa yang diingini oleh anak muda contohnya melalui media sosial, sukan dan sebagainya yang boleh mendekatkan mereka tanpa sebarang sekatan," katanya.

Tag: