• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Payang Walk Bakal Jadi Tumpuan Utama Pelancongan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Payang Walk dan Operasi Beca Warisan dijangka menjadi tumpuan utama dalam meningkatkan lagi industri pelancongan di negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata inisiatif itu merupakan salah satu usaha untuk memperkasa Pasar Kedai Payang yang juga merupakan aset pelancongan utama negeri ini.

Katanya, secara tidak langsung ia juga akan menjadi tarikan baharu Pasar Kedai Payang yang telah sedia terkenal sebagai salah satu tempat pelancongan yang popular.

“Antara strategi yang telah dirangka adalah melalui inisiatif pembangunan produk-produk pelancongan baharu selain memberi nilai tambah pada kawasan pelancongan sedia ada.

“Payang Walk ini diwujudkan bertujuan untuk memperkasakan imej Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Menyempurnakan Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan bertempat di Pesisir Payang, Kuala Terengganu di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Datuk Bandar dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.

Tambah Ahmad Samsuri, dengan adanya payang walk dan laluan khas beca ini, dijangka akan meningkatkan kedatangan pelancong dan pengunjung ke kawasan ini.

“Sekali gus, meningkatkan populariti beca kepada mereka.

“Selaras dengan tagline 'Bandar Raya Warisan Pesisir Air', cadangan payang walk dan laluan beca warisan di sekitar Pasar Kedai Payang ini akan dapat menarik lebih ramai lagi pelancong untuk datang ke Terengganu,” ujarnya.