PBT Urus  5,530 Tan Sampah, Sisa Buangan Banjir Di Kemaman Dan Hulu Terengganu

KUALA TERENGGANU – Pihak berkuasa tempatan (PBT) menguruskan sebanyak 5,530 tan sampah dan sisa buangan banjir di Kemaman dan Hulu Terengganu selepas dua daerah itu dilanda banjir teruk baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, daripada jumlah itu, 2,830 tan sampah diuruskan Majlis Perbandaran Kemaman manakala 2,700 tan oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu.

“Kakitangan pembersihan terpaksa bekerja berlipat kali ganda kerana jumlah sampah ini terlalu besar berbanding kebiasaan 30 hingga 50 tan sampah,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Khamis lalu.

Menurut Dr Alias, kebanyakan sampah dibuang adalah perabot dan pelbagai barangan lain yang rosak selepas ditenggelami banjir.

Sementara itu beliau berkata, jumlah sampah yang dibuang di negeri ini dijangka meningkat pada Ramadan nanti susulan penggunaan pembungkus makanan di bazar dan pembaziran makanan oleh orang ramai.
 


Tag: