• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Pejabat Dewan Undangan Negeri, PPAT Jalin Kerjasama

KUALA TERENGGANU, 6 Mac- Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa mutu perbahasan dan perkhidmatan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN), Dato' Yahaya Ali berkata, kerjasama tersebut memberi tumpuan terhadap perkongsian ilmu dan maklumat.

“Pejabat DUN sebelum ini telah melancarkan perpustakaan digital, satu sistem yang dibina untuk memberi kemudahan kepada semua ADUN Terengganu bagi mengakses maklumat dengan cepat.

“Tetapi apabila temeterainya MoU ini, dengan sendirinya perpustakaan digital Pejabat DUN menjadi lebih luas aksesnya dimana sebahagian besar daripada kandungan perpustakaan digital PPAT boleh digunakan oleh Yang Berhormat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Perpustakaan Digital Antara Pejabat Dewan Undangan Negeri Dan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) di PPAT, semalam. 

Turut hadir,Pengerusi PPAT, Ridzuan Hashim dan Pengarah PPAT, Norliza Ismail .

Pada majlis MoU tersebut, Yahaya mewakili Pejabat DUN manakala PPAT diwakili oleh Ridzuan sambil disaksikan Norliza.

Menurut beliau, dengan adanya perpustakaan digital, maklumat hanya di hujung jari dan ia akan memudahkan tugas ADUN untuk membuat rujukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

“Apa yang penting sistem ini dibina bagi melengkapkan diri ADUN supaya mereka lebih bersedia membuat rujukan terutamanya dalam menghadapi sidang dewan.

“Segala maklumat yang melibatkan kepentingan orang ramai contohnya mereka mendapat akses yang lebih luas, justeru dengan rujukan-rujukan yang ada itu, mereka akan menjadi seorang ahli badan legislatif yang lebih baik,”jelasnya.

Sementara itu, Norliza berkata, selain maklumat berkaitan DUN, PPAT turut memberi akses kepada sebahagian aplikasi dan bahan digital sedia ada di sana untuk kegunaan ADUN.


Tag: