• 05 Feb 2023 | 14 Rejab 1444

Pelajar Cemerlang Teruja Ditaja Lanjut Pengajian Ke Australia

KUALA TERENGGANU, 21 Februari- Tiga orang anak negeri ini teruja apabila hasrat dan cita-cita mereka selama ini untuk menyambung pengajian ke Australia ditunaikan menerusi biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu ke luar negara dengan peruntukan sebanyak RM1.9 juta

Buat kali pertama, kerajaan negeri akan menghantar pelajar ke benua tersebut setelah ketiga-tiga mereka telah muncul menjadi pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dan 2019 dan menamatkan Program Persediaan A-Level dan South Australian Certificate Of Education (SACE) di Kolej Intec Shah Alam.

Antaranya adalah Tuan Nur Ain Nadhirah Tuan Kob yang memperolehi keputusan cemerlang SPM 2018 dengan keputusan 11A, bakal menyambung pengajian di University Of Melbourne.

Beliau diikuti oleh Iffah Nabilah Shahidan yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai mendapat 9A didalam SPM 2019 juga akan ke universiti tersebut dalam bidang yang sama selama tiga tahun.

Manakala Mohamad Shafiq Akram Shafee pula akan ke Monash University dalam bidang farmasi selama empat tahun yang i sebelum ini telah muncul sebagai pelajar cemerlang pada SPM 2019 dengan mendapat keputusan 9A+.

Berkongsi detik kegembiraan itu, Nur Ain berkata dengan biasiswa yang diterima itu sangat membantu untuknya menghabiskan pengajian yang akan memakan masa selama tiga tahun.

"Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan terharu dengan peluang yang diberikan ini, dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ijazah kelas pertama di sana nanti dalam bidang yang dipilih ini.

"Nasihat saya kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan berusahalah untuk mencapai keputusan yang cemerlang supaya mendapat peluang biasiswa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri ini untuk ke luar negara.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya ini,"Ujarnya yang berasal dari Besut merupakan anak kedua daripada tiga beradik, ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)

Berkongsi kegembiraan yang sama, Iffah Nabilah yang merupakan anak jati Kemaman pula berkata, dengan tawaran yang diterimanya itu telah merealisasikan impiannya semenjak kecil untuk belajar di luar negara.

"Kerana itu di bangku sekolah terutamanya pada peringkat menengah saya sentiasa berusaha dan mengulangkaji pelajaran dengan tekun untuk memastikan saya meraih keputusan yang cemerlang.

"Akhirnya impian ini dapat dicapai dimana saya akan berangkat pada pertengahan Februari ini dan akan memulakan kelas pertama pada 28 Februari," jelasnya.

Nasihatnya kepada pelajar lain agar jangan pernah merasa penat dalam belajar untuk meraih keputusan yang cemerlang, apabila berjaya katanya, tawaran dari pelbagai pihak seperti yang diberikan oleh kerajaan itu akan diterima.

"Dengan biasiswa yang diperolehi ini tidak akan sia-siakan untuk membalas balik jasa baik kerajaan yang telah membantu saya dan rakan-rakan ini insya-Allah sata serta rakan-rakan yang lain akan menghabiskan pelajaran dengan lancar dan insya-Allah pulang nanti akan menyumbang khidmat serta menggunakan segala ilmu dalam pekerjaan nanti," tambahnya.

Shafiq Akram pula berkata kejayaanya itu menjadi kebanggan keluarga apabila menjadi anak pertama dalam keluarga berjaya menyambung pengajian ke luar negara.

"Ini membuatkan saya lagi teruja apabila menerima biasiswa ini dimana akan meringankan perbelanjaan pengajian nanti.

"Saya anggap ini satu tanggungjawab yang besar untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya di luar negara apabila pulang nanti berbakti kepada negara,"katanya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik," katanya lagi.

Ketiga-tiga mereka telah ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPSI) selepas diraikan dalam Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara bagi tahun ini, di Pejabat Yayasan Terengganu, awal bulan ini.

Majlis berkenaan telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat.

Satiful berkata, besar harapan kerajaan negeri untuk melihat pelajar berkenaan pulang membawa kejayaan dan menamatkan pengajian mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

"Sekalung penghargaan dan tahniah kepada para pelajar, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat semoga kesemua mereka akan mengekalkan kecemerlangan mereka di sana melalui bidang pengajian yang dipilih di universiti yang terkemuka, di mana ia turut menjadi impian dan dambaan pelajar lain untuk turut menimba ilmu di sana.

"Bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan terutamanya pelajar SPM belajarlah bersungguh-sungguh kerana kerajaan negeri sentiasa komited untuk menaja anak Terengganu bagi menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kita sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada mereka," ujarnya.