• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Terengganu Wujudkan Dimensi Baru

KUALA TERENGGANU, 11 November- Kerajaan negeri mengorak langkah melancarkan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu sebagai inisiatif melestarikan pelancongan negeri secara menyeluruh, memulihkan dan mewujudkan dimensi baru industri pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pelan tersebut merangkumi misi dan matlamat dalam menjadikan Terengganu sebagai negeri pilihan pelancong dalam dan luar nagara.

"Ibarat sebuah rumah lama, kita perlu penambahbaikan untuk menjadikannya lebih baik. Sebenarnya, kita telah bermula hujung tahun lalu, cuma kerana pandemik, kami menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Buku Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, semalam.

Jelasnya, antara fokus utama yang terkandung di dalamnya adalah memastikan mutu penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, menekankan pembangunan produk pelancongan melalui pendekatan komuniti serta pemantapan jaringan infrastruktur pemasaran melalui sinergi pelbagai agensi.

"Antaranya, kita telah kenal pasti 40 produk Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) dan memperuntukkan hampir RM1 juta dalam menjayakannya.

"Pandemik ini, sektor pelancongan sangat terjejas dan antara yang boleh memberikan suntikan ekonomi segera adalah CBT yang dimajukan," katanya.

Tambah Ariffin, kerajaan negeri turut sasarkan kedatangan sekitar tiga juta pengunjung ke Terengganu bagi tahun 2022 dalam tempoh pemulihan semula industri pelancongan negeri tersebut dan berharap pembukaan semula gerbang antarabangsa mampu membantu mencapai sasaran berkenaan.