• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pelita Raya Terengganu Beralih Ke TTI

KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Program Pelitara Raya Terengganu akan diteruskan pada tahun ini dengan menjadikan Taman Tamadun Islam (TTI) sebagai lokasi baharu.

Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, program kali ini dijangka lebih meriah dengan menyasarkan kehadiran 40,000 pengunjung.

Jelasnya, kerajaan negeri melalui jabatannya itu dengan kerjasama rakan strategik TTI, Pejabat Daerah, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan negeri telah bersetuju ia diadakan pada lapan hingga 12 Ramadan.

"Program kali ini sedikit berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, ia diawalkan dan bertukar lokasi ke Tasik Pahlawan, TTI sebagai langkah mahu menghormati hari-hari terakhir Ramadan dan malam Lailatul Qadar selain mendengar pandangan orang ramai agar ia diawalkan.

"Sudah tentu, Tourism Terengganu (TT) sentiasa cuba mencari atau mengadakan kelainan pada setiap acara dianjurkan dengan kali ini melibatkan 11 penyertaan membabitkan lapan Pejabat Daerah, Tourism Terengganu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Temubual Selamat Pagi Terengganu (SPT), di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Ridzwan berkata program Pelita Raya itu akan dijenamakan sebagai PELITER@TTI bertemakan 'Tradisi Diwarisi, Comeynya Pelita'.

"Juga akan menonjolkan kepelbagaian jenis-jenis pengcahayaan pelita yang akan dipasang secara kreatif mengikut kesesuaian tradis, budaya dan seni warisan di setiap daerah yang akan dipamerkan sebagai bahan pameran dan barangan jualan sepanjang program berlangsung," katanya.

Mengenai pertandingan yang akan diadakan, katanya ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu ' Pertandingan Pelita Raya' dan 'Pertandingan Media Sosial (Facebook & TikTok) dengan hadiah keseluruhan RM11,500 membabitkan Pejabat Daerah, GLC dan orang ramai dengan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"Oleh itu, diharapkan warga negeri dan pelancong mengambil peluang untuk datang dan melihat keunikan program ini yang agak sukar dilihat di negeri-negeri lain, malah di kawasan kampung pun sudah jarang kita lihat suasana orang memasang pelita seperti zaman dahulu kala.

"Semoga dengan penganjuran PELITER@TTI2004 ini akan dapat mempromosikan lagi TTI dan destinasi pelancongan sekitar terutama Kampung Budaya Terengganu dan Muzium Negeri," ujarnya.