• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

LPT3 : Terengganu Tunggu Repons Kerajaan Persekutuan

KUALA TERENGGANU, 25 April - "Setakat ini, Jabatan Kerja Raya mengambil maklum berkenaan perancangan untuk pembinaan LPT3 dan menunggu keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakannya, " ujar Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.

Beliau memaklumkan demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Riduan Mohamad Nor yang ingin tahu apakah usaha Kerajaan Negeri untuk lanjutan pembinaan LPT3 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelaksanaan kerja awalan bagi lebuh raya pantai timur (LPT3) dengan kos RM35 juta.

"Skop kerja awalan yang terlibat adalah light detection and ranging (lidar survey), ground survey, soil investigation, environmental impact assessment (EIA) study, social impact assessment dan traffic study.

"Kerja awalan ini telah siap pada Disember 2021," ujarnya.

Katanya, pembentangan penuh laporan kerja awalan termasuk penentuan jajaran jalan yang muktamad dan anggaran kos projek kepada agensi pusat telah dibentangkan pada pertengahan 2022 untuk mendapatkan hala tuju dan seterusnya kelulusan pelaksanaan projek.

Hanafiah berkata, pembinaan LPT3 melibatkan anggaran jarak laluan sejauh 122 kilometer (km) bermula di Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu dan tamat di Tunjong, Kota Baharu.