• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Pemilik Rumah Mampu Milik Ingkar Perjanjian Diberikan Notis

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Kerajaan negeri telah mengeluarkan notis menarik balik atau menamatkan sewaan terhadap pemilik Rumah Mampu Milik (RMM) yang didakwa menyalahgunakan pemberian subsidi itu berdasarkan siasatan awal yang dijalankan di seluruh negeri ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berikutan terdapat aduan segelintir pemilik RMM yang tidak tinggal di rumah itu sebaliknya menyewakannya kepada orang lain, kerajaan negeri melaksanakan operasi pemutihan untuk memastikan rumah berkenaan hanya diberikan kepada mereka yang layak.

“RMM sekarang ini agak terhad, memang kita dalam proses merangka untuk menambah rumah mampu milik lagi.

“Oleh kerana terhad, tentulah kita mahu rumah yang mereka perolehi sebelum ini adalah rumah yang digunakan dan bukannya rumah yang tinggal kosong dan disewakan pada orang lain.

“Kita tidak mahu keadaan itu berlaku, sebab itulah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) diarahkan untuk melakukan siasatan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemilik tidak menyalahgunakan untuk tujuan lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.
Dr Alias Razak.
Sementara itu, Dr Alias berkata, tindakan yang dilakukan oleh PMINT itu adalah prosedur biasa setelah mendapat aduan dari pihak tertentu.

“Ia memang prosedur biasa, bila ada aduan khususnya dari bawah tentang rumah tidak didiami contohnya bila orang tengok rumah itu kosong dan gelap, jadi mereka buat aduan kepada agensi kita (PMINT).

“Jadi PMINT akan buat siasatan dan mana-mana yang didapati betul sebagaimana aduan itu, kita akan keluarkan notis tetapi masih boleh buat rayuan.

“Kadang-kadang ada juga yang tinggalkan rumah itu kerana bekerja jauh. Keluar pagi Subuh dan balik lewat malam dan orang ingat dia tidak duduk di rumah jadi kita akan pertimbangkan kes sebegini,” ujarnya.

Katanya, perkara tersebut akan dipanjangkan dalam mesyuarat bulan hadapan untuk dibuat pertimbangan oleh jawatankuasa khas yang dilantik.

“Sekarang ini, kita cuma keluarkan notis kepada pemilik. Bila mesyuarat bulan depan baru dibuat keputusan sama ada rumah mereka ditarik atau tidak, memandangkan kita 
mempunyai jawatankuasa khas untuk menilai dan menimbang kes ini,” ujarnya.

Tambah beliau, notis berkenaan turut dikeluarkan kepada pemilik yang didapati mempunyai bayaran bulanan yang tertunggak.


Tag: