• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PEMULIH : Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN

PUTRAJAYA, 28 Jun - Kerajaan mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran termasuk pinjaman pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa agensi kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran dengan pemberian moratorium bersasar kepada peminjamnya.

"Pertama adalah memberikan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam-peminjam PTPTN.

“Kerajaan juga bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan.

“Ketiga, menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah RM100 selama 12 bulan,” ujarnya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Selain itu katanya, penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) turut diberikan selama tiga bulan.

Tambah beliau lagi, nilai keseluruhan inisiatif ini dianggarkan berjumlah 400 juta ringgit dan akan manfaatkan seramai 1.6 juta rakyat.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan satu lagi pakej bantuan bernilai RM150 bilion yang merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.


Tag: