• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Penerima Zakat Mampu Berubah Jika Dibantu

Ghazali membantu salah seorang penerima yang hadir.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 8 Mei - Penerima zakat Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mampu untuk memperbaiki taraf kehidupan jika diberi suntikan motivasi.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, menjadi hasrat dan matlamatnya bagi memastikan penerima zakat di DUN berkenaan dapat dikurangkan tahun demi tahun.

"Memang diakui bahawa kos sara hidup yang tinggi menyebabkan agak sukar golongan ini untuk keluar dari kemiskinan tegar.

"Tetapi, kita yakin dan percaya kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk mencari jalan agar rakyat hidup dalam keadaan yang tidak membebankan dan mewujudkan peluang pekerjaan, kecuali mereka yang benar-benar tidak berupaya, tidak mampu bekerja kerana faktor kesihatan dan sebagainya maka ianya adalah wajar untuk terus dibantu," katanya ketika ditemui Urusetia Darul Iman (UPDI).


Beliau berkata demikian ketika hadir meninjau perjalanan agihan zakat dari MAIDAM kepada 300 asnaf sekitar DUN berkenaan, di Dewan Orang Ramai, Jerangau, semalam.

Ghazali turut menasihatkan asnaf supaya dapat memanfaatkan bantuan yang diterima untuk keluar dari belenggu kemiskinan.

“Tahun ini berlaku sedikit peningkatan penerima berbanding tahun lepas. Jadi, kita akan fokus kepada mereka yang masih muda, mempunyai kudrat dan berpotensi untuk mengubah nasib diri.

"Kita akan menggalakkan mereka terlibat dalam industi asas tani atau keusahawanan yang mana, kedua bidang ini begitu diberi perhatian oleh kerajaan negeri termasuk diberi suntikan dana yang amat diperlukan mereka," katanya.


Tag: