lightning-solid
Berita :
Pengoperasian SDCC Tambah Baik Pengurusan Bencana Negeri
Pengoperasian SDCC Tambah Baik Pengurusan Bencana Negeri
Noraini Jusoh
11 Dec 25
76

KUALA TERENGGANU, 11 Disember – Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) Negeri Terengganu yang terletak di Batu Burok, di sini telah diserahkan kepada Kerajaan Terengganu, semalam.

Penyerahan SDCC Negeri Terengganu itu disampaikan Pengarah Pembangunan Persekutuan Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu Pengurusan Datuk Ab. Rasid Jusoh dengan disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pasca Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Hussain Moh.

Ab. Rasid berkata, projek pembinaan SDCC yang dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu bermula pada 20 Julai lalu dan telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada 10 November tahun ini.

IMG-20251211-WA0014.jpg 153.77 KB

Katanya, skop kerja projek tersebut melibatkan pembinaan bangunan dan pengubahsuaian ruang, pembekalan infrastruktur ICT dan audio visual serta perabot.

”Kewujudan SDCC Negeri Terengganu ini menjadi satu keperluan penting. Dengan kelengkapan ICT yang lebih lengkap, ruang operasi yang selesa dan tersusun serta kemudahan yang lebih kondusif, ia memberikan persekitaran operasi yang lebih baik kepada semua petugas yang bertugas siang dan malam ketika bencana melanda.

”Sebelum ini, Bilik Gerakan Bencana Negeri beroperasi di Tingkat 3, Bangunan Paya Keladi, dengan ruang yang terhad serta kemudahan yang kurang sesuai bagi menampung keperluan pengurusan bencana berskala besar,” ujarnya.

IMG-20251211-WA0015.jpg 223.53 KB

Justeru katanya, SDCC adalah peningkatan besar bagi kecekapan operasi bencana negeri memandangkan ia sebuah pusat kawalan yang jauh lebih lengkap.

”Ini termasuk dengan ruang yang lebih luas, sistem sokongan ICT yang stabil, bilik mesyuarat taktikal yang tersusun serta kawasan parkir yang mencukupi untuk kenderaan agensi-agensi terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan khusus kepada NADMA Malaysia atas kelulusan peruntukan sebanyak RM750,000 bagi menambah baik keupayaan negeri dalam kesiapsiagaan bencana.
IMG-20251211-WA0011.jpg 204.06 KB

”Sokongan ini membolehkan kita memperkukuh infrastruktur kritikal seperti SDCC dan menunjukkan komitmen kerajaan persekutuan terhadap usaha pengurangan risiko bencana di peringkat negeri.

”Tidak lupa juga kepada ICU JPM Negeri Terengganu yang bertindak sebagai agensi pelaksana projek. Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kerana berjaya menyiapkan pembangunan SDCC ini mengikut jadual. Kejayaan ini menunjukkan keupayaan pelaksanaan yang cekap dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Katanya, Kerajaan Negeri meletakkan harapan tinggi agar SDCC ini berfungsi secara optimum bukan sahaja ketika musim tengkujuh, tetapi sepanjang tahun. 

”Pusat ini akan menjadi lokasi utama bagi tujuan latihan, simulasi, pemantauan risiko dan penyelarasan operasi, sekaligus memperkukuh kesiapsiagaan negeri menghadapi bencana pada bila-bila masa,” jelas beliau.


Artikel Berkaitan