• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penguatkuasaan Undang-undang Mampu Jayakan GEG

KUALA TERENGGANU, 30 November - Generasi Baru Bebas Asap Rokok atau Generational End Game (GEG) merujuk kepada penurunan peratusan merokok dalam kalangan penduduk sesebuah negara sehingga mencapai kurang daripada lima peratus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor menggesa agar penguatkuasaan yang tegas dan berterusan dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan hasrat tersebut tercapai.

"Saya pernah menyuarakan isu ini pada sidang yang lepas, dan saya telah diberi penjelasan bahawa PBT tidak pernah meluluskan sebarang lesen kepada mana-mana perniagaan berkaitan rokok elektronik ini.

"Walaupun begitu, pada hari ini, premis yang menjual rokok elektronik dilihat bagai cendawan tumbuh selepas hujan," ujarnya.

Zuraida berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Ucapan Perbahasan Belanjawan Terengganu 2023 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Beliau juga menyatakan kebimbangan apabila semakin ramai anak muda yang terpengaruh dengan tabiat merokok, termasuklah rokok elektronik ataupun vape.

"Saya juga menerima aduan daripada ibu bapa dan melihat dengan mata saya sendiri terdapat remaja berpakaian sekolah yang tanpa segan silu menghisap vape di tempat terbuka.

"Tidak hairanlah, rokok elektronik sudah menjadi trend anak muda kita di Terengganu kerana sangat mudah didapati dan kawalan yang dibuat dilihat longgar di mata saya," ulasnya lagi.

Zuraida percaya bahawa GEG boleh dicapai sekiranya industri rokok elektronik dicabar dan dibendung.