• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Peniaga Disaran Beri Wajah Baharu Kepada Kerajaan


BESUT, 29 Mei – Peniaga bazar Ramadan disaran agar dapat memberi wajah baharu kepada Kerajaan Terengganu sebagai negeri yang bersih dan mesra.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, imej yang positif itu akan menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini, termasuk anak Terengganu di perantauan yang akan pulang menyambut Aidilfitri.

“Kita mengharapkan (para) peniaga ambil kesempatan ini  untuk mewajahkan kerajaan negeri Terengganu supaya kita tidak dipinggirkan.

“Contohnya kebersihan (dan) layanan (mesra) yang penting perlu ditunjukkan, menandakan itulah imej kerajaan sekarang,” ujarnya.


Beliau yang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kota Putera berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Iftar bersama penduduk di Surau Haji Mat Hussin, Gelam Mas, di sini, semalam.

Nurkhuzaini berkata, peniaga di bazar Ramadan khususnya pada saat di penghujung Ramadan perlu menunjukkan sikap dan layanan yang baik kepada perantau yang pulang bersama keluarga di kampung.

“Bimbang apabila perantau balik kita layan ataupun kita tunjukkan sikap tidak bersih kita (seolah-olah) inilah sikap kerajaan baru.

“Saya  mengharapkan usahawan  khususnya para peniaga  bazar Ramadan ambil kesempatan ini untuk sama-sama  menaikkan  imej kerajaan negeri  dan secara langsungnya  menaikkan imej Islam itu sendiri,” jelasnya.

Kata beliau, para peniaga adalah perantara yang menjadi cerminan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.


Justeru itu, beliau juga menasihatkan kepada peniaga walaupun sibuk dan penat berniaga supaya tidak meninggalkan ibadat dalam bulan penuh berkat ini.

Tag: