• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Penternak Akuakultur Terengganu Paling Untung

KUALA TERENGGANU, 30 November- Penternak akuakultur di Terengganu boleh dikatakan paling beruntung berbanding penternak akuakultur negeri lain kerana menerima pelbagai bantuan ketika ditimpa musibah banjir awal tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, selain mendapat bantuan tunai daripada Kerajaan Negeri, mereka turut menerima bantuan peralatan serta input daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, dalam masa yang sama Kerajaan Negeri turut membantu penternak dalam sektor tersebut untuk membuat penyelarasan dan penjadualan semula pinjaman dengan agensi pembiaya seperti Skim Bantuan Modal Tani (SBMT), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Agrobank.

“Kita telah salurkan bantuan tunai melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu sebanyak RM221,000 sebagai ganti rugi kepada penternak akuakultur ini.

“Selain itu, turut disalurkan bantuan dibawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan daripada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk peralatan dan input bernilai RM2.079 juta. 

“Setiap penternak dapat bantuan bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000 dan penyerahan telah dibuat di Kampung Getang Hulu Terengganu pada 2 November lalu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada ADUN Telemong, Dato’ Rozi Mamat dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.

Dr Azman berkata, kerugian sektor pertanian Terengganu dalam bencana angin kuat, hujan lebat yang berterusan dan banjir yang bermula Disember 2021 sehingga Februari 2022 adalah sebanyak RM12 juta dan meninggalkan kesan mendalam kepada sektor sekuriti makanan negeri. 

“Sektor perikanan akuakultur mencatatkan kerugian terbesar RM8.56 juta yang melibatkan seramai 175 pengusaha dimana 104 dari jumlah tersebut adalah pemilik ternakan sangkar manakala bakinya penternak kolam.

“Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Besut adalah daerah paling terjejas,” ujarnya.