• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penternak Siakap Sangkar Kerugian RM50,000

KUALA TERENGGANU, 8 Disember – Banjir kilat yang melanda pada 2 Disember baru-baru ini telah mengakibatkan seorang pengusaha ternakan ikan siakap sangkar kerugian kira-kira RM50,000. 

Pengusahanya, Talib Manap, 61, berkata kejadian tersebut berlaku kerana terdapat kayu yang hanyut di Sungai Kuala Ibai dan melanggar sangkar ikan miliknya.

Keadaan sangkar ikan yang pecah

“Apabila kayu itu hanyut dan melanggar sangkar ikan saya, maka sangkar itu pecah dan ikan-ikan dalam sangkar tersebut semua terlepas.

“5 buah sangkar telah pecah dan menyebabkan kira-kira 3,500 ekor ikan telah terlepas,” kata Talib ketika ditemu bual oleh pemberita.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi turut hadir ke lokasi, semalam bagi meninjau keadaan sangkar ikan itu. 

Muhammad Khalil menemui pengusaha sangkar ikan

“Kami di pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan dan Pembangunan Desa, Dr. Azman Ibrahim berkenaan perkara ini.

“Insya-Allah tindakan selanjutnya akan diambil untuk sekurang-kurangnya dapat meringan bebanan kerugian yang ditanggung oleh pengusaha,” kata Muhammad Khalil.

Dimaklumkan, kira-kira 40 peratus kadar kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha melibatkan sebanyak 20 buah sangkar ikan secara keseluruhannya.

Talib menunjukkan paras air ketika banjir berlaku