lightning-solid
Berita :
Penuntut UITM Ditemui Lemas di Air Terjun Tasik Puteri
Penuntut UITM Ditemui Lemas di Air Terjun Tasik Puteri
Muhammad Amiruddin Zamri
7 jam yang lepas
42

DUNGUN, 24 Januari – Seorang pelajar lelaki Universiti Teknologi MARA (UiTM) berusia 19 tahun ditemukan lemas di kawasan Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, mengesahkan mangsa merupakan pelajar UiTM Cawangan Terengganu, Kampus Bukit Besi.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.50 pagi ketika mangsa sedang mandi bersama 12 orang rakan di kawasan berkenaan sebelum dilaporkan tenggelam secara tiba-tiba ke dasar tasik.

Katanya, usaha rakan-rakan mangsa untuk memberikan bantuan awal bagaimanapun tidak berjaya sebelum mangsa hilang dari permukaan air.

"Susulan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan melibatkan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terdiri daripada seorang pegawai dan 11 anggota, termasuk Unit Selam Bomba Kuala Berang.

"Mangsa akhirnya ditemui pada jam 12.40 tengah hari pada kedalaman kira-kira tujuh meter, kira-kira empat meter dari lokasi mangsa mandi," jelas beliau. 

Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Besi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada jam 1.30 petang sebelum mayat dibawa ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Supt. Maizura menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti riadah di kawasan air terjun, tasik atau sungai.

Ujarnya, orang awam juga diingatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa serta papan tanda amaran yang telah disediakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.


Tag :

Artikel Berkaitan