• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Peranan Wanita Wajar Diiktiraf



KUALA NERUS, 24 Februari- Peranan dan sumbangan wanita wajar diiktiraf kerana golongan ini bukan sahaja menjadi tulang belakang kepada kejayaan sesebuah keluarga malah turut menyumbang kepada pembangunan negara.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Negeri Terengganu, Zuraida Md Noor membuktikan kerajaan negeri  mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh kaum wanita di negeri ini.

“Sebab itu kita lantik ADUN Wanita bagi mewakili suara wanita Terengganu.

“Bukan bermakna wakil-wakil rakyat, Ahli Parlimen dan lain-lain yang ada sekarang ini tidak mengangkat suara wanita ataupun tidak membela dan prihatin terhadap mereka, semuanya masih cakna terhadap golongan ini.

“Tetapi yang lebih penting, pelantikan ADUN Wanita ini telah mengangkat betapa seriusnya hasrat kerajaan negeri yang memerintah hari ini untuk menjadikan suara wanita lebih besar dan lebih kuat kerana wanita lebih memahami sesama mereka tentang keperluan, kebajikan dan perkara-perkara yang diperjuangkan oleh kaum hebat ini,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Hari Sayyidatina Aishah Sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu,semalam.

Mengulas mengenai program yang diadakan, Dr. Ahmad Samsuri berkata, tokoh yang hebat ini (Sayyidatina Aishah) mesti dijadikan inspirasi oleh wanita Terengganu untuk berjaya, terutamanya dalam bidang  keilmuan sehingga Terengganu mampu melahirkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang.

“Dengan berlangsungnya program sebegini dan pelantikan ADUN Wanita, diharapkan wanita Terengganu terus dapat diperkukuhkan dan diperkasakan peranan mereka bukan sekadar sesama masyarakat di negeri ini, bahkan berjaya untuk membawa suara wanita supaya lebih unggul di peringkat tertinggi,” ujarnya.


Tag: