• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Perantau Hargai Kesungguhan Kerajaan Terengganu

Abdul Hadi Harun.


BATU PAHAT, 24 Mac- Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) Zon Utara dan Selatan menghargai komitmen kerajaan negeri mengadakan pertemuan bersama anak-anak negeri itu di perantauan.

Pengarah Jabatan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Negeri Johor mewakili Presiden Perantau Johor, Abdul Hadi Harun berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi peluang anak rantau mendapat maklumat berkaitan bajet dan perkembangan Terengganu.

"Secara keseluruhannya, program ini amat berjaya. Selain maklumat yang sampai kepada anak rantau, ia juga membina hubungan bersama pemimpin.

"Saya mewakili Perangau Zon Selatan menyokong penuh usaha ini dan berharap banyak lagi program sebegini pada masa akan datang," katanya ketika ditemui dalam Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019 peringkat Zon Selatan di The Katerina Hotel, semalam.
Mohd Nuri Al-Amin.

Manakala, Pengerusi Perantau Negeri Perak, Professor Madya Mohd Nuri Al-Amin Endut menyifatkan Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019  memberi semangat kepada anak negeri yang berkelana di perantauan.

"Pertemuan ini merupakan titik permulaan untuk hubungan yang lebih baik antara pemimpin dan rakyat Terengganu di luar negeri.

"Kesungguhan ini perlu dihargai dan Perantau akan mengambil inisiatif mengadakan perbincangan secara berterusan dengan kerajaan negeri untuk kepentingan anak-anak rantau," katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam program tersebut di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Terdahulu, Kerajaan negeri telah mengadakan siri Jelajah Anak Terengganu dalam usaha menyampaikan maklumat berkenaan Bajet Negeri 2019 kepada semua rakyat negeri itu di luar Terengganu.

Siri jelajah tersebut diadakan di Pulau Pinang (Zon Utara), Sabah dan Johor (Selatan) dan akan dilaksanakan di dua lagi lokasi iaitu Kuala Lumpur dan Sarawak, April ini.





Tag: