• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Permintaan Terakhir Aidil Sebelum Mati Lemas

 Noraini Yahya. Foto ihsan - Sinar Harian


KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Seorang ibu tidak menyangka permintaan sejak semalam adalah permintaan terakhir anaknya, Muhammad Aidil Muhammad Ghazali, 9, sebelum ditemui mati lemas petang tadi.

"Daripada semalam Aidil tak berhenti memujuk kami sekeluarga untuk membawanya ke sini (Lagun Kuala Ibai), tak sangka pula ini yang akan berlaku,” kata Noraini Yahya, 42, ibu kepada Muhammad Aidil.

Noraini berkata, Muhammad Aidil berulang kali memujuknya termasuk mengulangi permintaan mahu ke Lagun Kuala Ibai pagi tadi sebelum bapanya, Muhammad Ghazali Ibrahim, 38, menuruti permintaannya.

Tambahnya lagi, memang menjadi kebiasaan apabila pulang ke  Kampung Tanjung Paya, di sini, mereka akan ke lagun itu untuk beriadah.

“Kerana kami sibuk beraya, Muhammad Aidil berkali-kali memujuk ajak ke sini sejak semalam kerana dia suka bermain di gigi air dan menikmati pemandangan di sini. Katanya pemandangan di sini cantik," katanya lagi.

Keluarga Muhammad Aidil redha dengan pemergiannya di bulan Syawal.


Katanya, Muhammad Aidil yang juga anak keempat daripada tujuh beradik itu berkelakuan pelik sejak semalam apabila makan dengan banyak berbanding kebiasaan agak susah untuk makan.

“Dia juga gembira hari ini. Semalam dia asyik makan dan makan dalam kuantiti banyak, pagi tadi pun dia makan bihun tambah beberapa kali,” katanya.

Sementara itu, menurut bapanya, dia redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan untuk mereka sekeluarga.

Kata Muhammad Ghazali lagi, kejadian tersebut adalah ujian buat dirinya dan juga ahli keluarga yang lain.

"Saya redha dengan apa yang dah berlaku, sekarang tunggu jenazah untuk dikebumikan.

"Kalau ikutkan perasaan, memang tak dapat nak kawal perasaan, tapi disebabkan ramai orang di sini yang membantu dan memberi sokongan, saya redha,".


Dalam kejadian pagi tadi, Muhammad Aidil lemas selepas terjatuh ketika bermain air bersama adik beradiknya di Lagun berkenaan.

Kejadian tersebut yang berlaku kira-kira jam 10.15 pagi setelah dia terjatuh apabila pasir yang dipijaknya runtuh sebelum dihanyutkan air.

Mayat Muhammad Aidil kemudiannya ditemui terapung pada 4.48 petang, kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.


Tag: