• 20 Mei 2024 | 12 Zulkaedah 1445

Pertandingan Pelita Raya 2020 Bakal Diperluas Ke Daerah-Daerah Terengganu


MARANG, 3 Jun - Kerajaan negeri bercadang memperluaskan dan meneruskan tradisi Pertan­dingan Pelita Raya ke setiap daerah mulai tahun hadapan bagi  memeriahkan suasana malam menjelang Aidifitri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, program berteraskan amalan tradisi yang menjadi tarikan dari sudut pelancongan itu juga akan diperluas skop pertandingan, bukan sekadar antara rumah tetapi juga antara daerah.

Katanya, ia akan menarik penglibatan lebih ramai anggota masyarakat dalam program yang menyeri dan mengimbau nostalgia itu.

"Pihak kami akan adakan perbincangan lebih awal untuk melaksanakannya di daerah-daerah bagi mempromosikan negeri melalui penganjuran acara yang berasaskan adat resam, tradisi dan warisan yang merupakan salah satu produk pelancongan Terengganu.


"Kita akan terus hidupkan tradisi memasang pelita setiap kali menjelangnya bulan Ramadan di samping mencungkil bakat-bakat kreatif yang baharu dalam mencipta persembahan pelita raya ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2019 di Kampung Gelugor, semalam.

Pertandingan selama sembilan hari bermula 30 Mei sehingga 7 Jun itu melibatkan 13 buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat diselaraskan oleh Pejabat DUN, Penghulu Mukim, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Ariffin, pertandingan itu terbuka kepada setiap rumah dalam MPKK yang terpilih di kampung Gelugor untuk satu penyertaan.


Tambahnya lagi, pertandingan yang bertemakan Warna-Warni Pelita Raya Beautiful Terengganu itu menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM1,100 dan pemenang tempat pertama bakal menerima RM500, kedua RM300, ketiga RM200 dan keempat RM100.

Ariffin yang juga ADUN Alur Limbat berkata, pihaknya juga menyediakan sebanyak 200 pelita sebagai galakan penyertaan dan peralatan lain disediakan sendiri oleh peserta.

Untuk rekod, pertandingan Pelita Raya ini mula diperkenalkan pada peringkat kampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh pada 2009 sebelum diperluaskan ke kawasan lain.

Sejak diperkenalkan, pertandingan itu setakat ini hanya melibatkan empat buah daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Setiu.

Tag: