• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Peruntuk RM20,000 Untuk Dua Sekolah Sertai Kejohanan World Robotic Olympiad


A. Latif bersama peserta Pertandingan Terengganu- Exxonmobil Mathematics Innovation Challenge (TExMIC) dan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Kuala Terengganu. Foto Zulkifli C W Putra

Kerajaan negeri menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada dua sekolah di negeri ini yang akan menyertai Kejohanan World Robotic Olympiad di Costa Rica, pada 10 dan 11 November ini.

Sekolah Kebangsaan Kerteh di Kemaman dan Sekolah Menengah Sains Setiu (Setiu) masing-masing menerima sumbangan RM10,000 untuk menampung sebahagian kos yang ditanggung bagi setiap sekolah untuk menyertai pertandingan itu

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A. Latif Awang berkata, bantuan itu membuktikan sokongan kerajaan negeri atas kecemerlangan yang ditunjukkan oleh pelajar terbabit.

Katanya, secara tidak langsung mereka ini mencabar diri dan minda untuk bersaing di peringkat antarabangsa untuk mempamerkan kreativiti dalam bidang robotik

``Usaha sekolah berkenaan amat dipuji  walaupun terpaksa  berusaha sendiri untuk mencari dana, termasuk meminta sumbangan daripada ibu bapa  bagi membolehkan membawa pelajar menyertai ke pertandingan yang lebih tinggi

``Saya amat berbangga dengan mereka dan kerajaan negeri sentiasa menyokong mana-mana sekolah yang dapat mencipta kejayaan di peringkat yang lebih tinggi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Terengganu- Exxonmobil Mathematics Innovation Challenge (TExMIC) dan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri (JPNT)  Shaifuddin Ali Hussein, Pengurus Pangkalan Bekalan Kemaman, ExxonMobil, Mohd Badli Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif PSKT Prof Madya Dr Wan Nor Liza Mahadi.

Difahamkan ketika diperingkat kebangsaan baru-baru ini  sekolah terbabit mendapat tempat kedua dan tidak layak mendapat tajaan bagi menyertai pertandingan di peringkat tersebut, hanya  diberikan kepada pemenang sahaja.

Katanya, bagaimapun pelbagai usaha telah diambil oleh pihak sekolah tersebut untuk mencari dana bagi mencukupkan perbelanjaan yang diperlukan kira-kira RM35,000 bagi setiap sekolah untuk membawa empat peserta dan seorang guru pengiring.

Sementara itu, Pengarah JPNT, berkata Terengganu pada tahun ini  agak cemerlang kerana lebih 70 kemenangan dicapai juara sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

``Ini membuktikan kemenjadian murid dalam pelbagai aktiviti sama ada dalam bidang inovasi, akademik, kokurikulum dan sukan ditahap yang amat membanggakan,’’ katanya.

Dalam pertandingan TExMIC itu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Razali Ismail menjadi juara bagi ketegori menegah atas, manakala bagi kategori menengah rendah dimenangi oleh SMK Dato’ Mohd Said dan kategori sekolah rendah dimenangi oleh SK Pagar Besi.


Masing-masing menerima wang tunai RM1,200, piala, plak dan sijil penghargaan.

Tag: