• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Peruntukan RM1.4 Juta Bina Baru Rumah Nelayan Terengganu

MARANG, 28 September - Sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan bagi pembinaan baru rumah nelayan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di negeri Terengganu tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek membina rumah berharga RM56,000 seunit itu membabitkan 25 nelayan di seluruh Terengganu.

"Melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, kita telah menerima peruntukan sebanyak RM 1.4 juta untuk melaksanakan 25 buah bina baru rumah nelayan di seluruh negeri Terengganu.

"Sehingga sekarang kita telah berjaya menyiapkan 12 buah rumah baru kepada nelayan termasuk di Paka, Marang, Setiu dan Besut.

"Baki 13 unit lagi bina baru dijangka akan dimulakan pada tahun ini bergantung kepada situasi semasa berikutan pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bina Baru Rumah Nelayan di bawah PKPN LKIM Terengganu di Kampung Alor Ketitir Merchang di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pengarah LKIM Malaysia.

Menurut Azman, selain bina baru rumah, kerajaan turut menyalurkan bantuan yang diberikan kepada nelayan berpendapatan rendah untuk membaikpulih rumah dan membangunkan penempatan semula nelayan.

Mengulas lanjut, tambah beliau, ia tidak lain bertujuan untuk memberi kesejahteraan kepada keluarga nelayan agar dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.

Sementara itu, penerima rumah patuh syariah PKPN, Mohd Zulkifli berkata, penantiannya untuk memiliki rumah sejak turun ke laut pada usia 17 tahun sebagai nelayan akhirnya berakhir.

Beliau sangat bersyukur atas keprihatinan kerajaan terhadap nasib para nelayan.


Tag: