• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Perutusan MB Terengganu Sempena Hari Raya Aidilfitri 1440H


Perutusan Hari Raya Aidilfitri
Menteri Besar Terengganu Darul Iman
1440 Hijrah / 2019 Masihi

Maknakan Ramadan Hayati Aidilfitri

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izin-Nya, kita dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini pada 5 Jun 2019 bersamaan 1 Syawal 1440 Hijrah.

Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan bagi umat Islam. Semoga kesan Ramadan yang baru dilalui akan menghasilkan jiwa dan hati yang sejahtera kepada kita semua, membentuk dan menjadikan kita ummah yang memiliki hati dan fikiran yang tenang. Sekaligus dapat mendidik kita untuk mencari penyelesaian menggunakan ilmu dan iman berbanding emosi.

Lebih manis lagi, Aidilfitri kali ini disambut setelah setahun pentadbiran kerajaan Terengganu yang baru. Sewajarnya untuk kita bermuhasabah dan melakukan titik perubahan untuk terus meningkatkan kualiti kerja dan prestasi pada masa akan datang. Kami memikul tanggungjawab yang berat untuk merealisasikan maksud kesejahteraan kepada rakyat bukan sekadar di hari raya semata-mata. Semestinya ia amat memerlukan sokongan dan dokongan semua rakyat Terengganu.

Di sebalik kegembiraan kita meraikan hari lebaran, jangan kita lupa umat Islam di negara lain yang kurang bernasib baik. Kita mungkin asyik dengan bunyi dentuman mercun atau meriam, namun saudara kita di Palestin dan Syria berhadapan dengan bom dan peluru sebenar. Begitu juga nasib umat Islam di China dan Myanmar yang ditindas di negara sendiri. Menjadi tanggungjawab kita untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan serta memaksimakan doa agar krisis yang berlaku akan berakhir.

Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk menyeru rakyat Negeri Terengganu agar dapat memaknakan Ramadan yang telah berlalu dan menterjemahkannnya dalam kehidupan kita. Sebagai contoh yang amat mudah, jika Ramadan kita hayati dengan sebaiknya, kita tidak akan membuang sampah merata-rata, memandu dengan lebih berhemah atau tidak melakukan provokasi di media sosial. Begitu juga dengan hal yang lebih besar termasuk dalam pentadbiran sesebuah kerajaan.

Pesanan saya kepada perantau yang pulang ke kampung, berhati-hatilah ketika memandu. Elakkan tragedi dan jangan pentingkan diri. Rancanglah perjalanan agar semua selamat sampai ke kampung halaman menemui keluarga tercinta dan meraikan Syawal dengan kegembiraan bersama keluarga yang tersayang.

Akhir kata, mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, saya dan saf kepimpinan ingin memohon maaf untuk sebarang kekhilafan sepanjang mentadbir negeri selama setahun ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

"Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera"

Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
5 Jun 2019 / 1 Syawal 1440 Hijrah

Tag: