• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Perwaja Steel Kemaman Bakal Dibangunkan Semula

KEMAMAN, 17 Januari - Kilang Besi Perwaja di Telok Kalong, bakal dibangunkan semula dalam tempoh terdekat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong berkata pelabuhan Kemaman akan menerima pelabur baharu iaitu JXR Manufacturing yang akan membangun semula kilang Perwaja Steel Kemaman.

"Syarikat yang menghasilkan 'steel billet' ini dijangka mula beroperasi pada tahun 2024 dengan pengendalian sebanyak tujuh juta metrik tan kargo setahun.

"Ini adalah perkara yang dinantikan oleh pemain industri dan akan memberi impak yang besar kepada masyarakat setempat kelak," ucapnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Cadangan Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sains,Teknologi & Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Illustrasi Pelabuhan Kemaman yang baru.

Dalam masa yang sama, beliau yakin dan percaya dengan kesungguhan kerajaan dan agensi yang terlibat, perancangan itu dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat.

"Kementerian berharap pelan pembangunan jangka panjang pelabuhan ini mampu meningkatkan kapasiti bagi menampung keperluan pengguna pelabuhan semasa dan akan datang dapat direalisasikan.

"Kementerian juga yakin pembesaran pelabuhan Kemaman yang diterajui Lembaga Pelabuhan Kemaman dan Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) dapat dilaksanakan dan bakal memberi manfaat kepada Malaysia dengan menjadi pemangkin ekonomi bagi Kemaman, sekali gus merancakkan pembangunan Koridor Pantai Timur," ujarnya.