• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Pesara Kerajaan Kongsi Pengalaman Berharga - Wan Sukairi

Wan Sukairi ketika menerima plak penghargaan daripada Tan Sri Wan Mahmood dalam majlis semalam.
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Pengalaman dan pengetahuan pesara kerajaan sangat berharga untuk dikongsikan kepada tenaga muda dalam membangun masyarakat dan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah melahirkan ucapan terima kasih atas khidmat mereka yang penuh dedikasi sehingga generasi sekarang dapat meneruskan legasi yang telah dibina.

“Kewujudan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) sejak tahun 1972 yang lalu sebagai sebuah persatuan yang menghimpun pesara dan menumpukan kebajikan adalah sangat baik dalam membantu pengurusan pesara yang lebih tersusun.

“Selain itu, saya yakin matlamat pertubuhan ini bertujuan supaya pesara boleh menyumbang ke arah pembangunan masyarakat dan negara yang lebih baik,” katanya ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan ke-32 PPKM Kebangsaan di Wisma Darul Iman, semalam.
 
Wan Sukairi berterima kasih atas dedikasi para pesara dalam khidmat mereka kepada kerajaan selama ini.
Perasmian tersebut turut diadakan bersama majlis makan malam yang dihadiri sekitar 200 perwakilan dari seluruh negeri.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan, Tengku Bijaya Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Presiden PPKM, Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Wan Mahmood Pawan dan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas.

Wan Sukairi menambah, kerajaan negeri mengharapkan usahasama kakitangan awam dan pesara kerajaan dalam membantu membangunkan negeri.

“Sebagai kerajaan yang telah mendapat mandat daripada rakyat,  kami ingin bangkit bersama kakitangan kerajaan serta meraih pengalaman pesara kerajaan untuk membina negeri yang aman, makmur, maju, berkat dan sejahtera,” katanya.








Tag: