• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pesawah Terjejas Ribut Akan Dibantu

BESUT, 21 September – Kerajaan Terengganu akan membantu pesawah di negeri itu yang terjejas akibat ribut beberapa hari lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya kini sedang mengumpulkan data lengkap bagi kerosakan dialami kira-kira 160 orang pesawah.

"Setakat ini, kawasan sawah yang terlibat ialah seluas 97.2 hektar, melibatkan daerah Besut dan Setiu.

"Ia membabitkan kawasan seluas 82.2 hektar sawah padi  di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) dan selebihnya terletak di luar kawasan jelapang tersebut.

"Kerugian keseluruhan setakat ini dianggarkan berjumlah RM567,000 yang dikira berdasarkan potensi hasil dan harga pasaran semasa bagi satu tan hasil padi," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tanaman padi yang terjejas di baruh Gong Telikong, Jabi dan baruh Kampung Dengir, Kuala Besut, di sini semalam.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, selain berusaha mendapatkan bantuan kerajaan pusat, kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan menerusi Tabung Bencara Pertanian Negeri 

Sementara itu, salah seorang petani, Ab Halim Zakaria, 41, berkata kerugian yang dialaminya pada musim ini kira-kira RM12,000 melibatkan seluas dua hektar di Kampung Dengir setelah tanamannya rosak dilanda ribut pada 3.30 petang, Khamis lepas.

“Padi yang saya tanam sepatutnya dah boleh dituai dalam tempoh 10 hari lagi namun ia tidak menjadi kenyataan apabila musnah dipukul ribut,” katanya.