• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Peserta Terkejut MB Terengganu Sertai Zoom Mereka

KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Peserta-peserta Program Rintis ACES Web App dari Terengganu teruja apabila dikejutkan dengan penyertaan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sesi Zoom mereka selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Terengganu.

Ahmad Samsuri turut berasa gembira dapat meluangkan masa bersama mereka.

Beliau juga menerima taklimat mengenai program rintis berkenaan dan sempat memberikan kata-kata semangat kepada para peserta.

"Tahniah atas penyertaan anda dalam program ini. Sangat penting anda menyesuaikan diri dengan sistem dan teknologi baharu kerana ia akan memberi impak yang besar kepada pekerjaan di masa hadapan.

"Semoga anak-anak terus melengkapkan diri dengan teknologi dan pengetahuan tentang Industri Revolusi 4.0 (IR4.0) agar dapat menyumbang kepada pembangunan negeri di masa depan insya-Allah," ujarnya ketika bersiaran dalam lawatannya.

Program Rintis ACES Web App telah dimulakan baru-baru ini bagi mensiap siaga rakyat di Terengganu untuk pekerjaan masa akan datang, yang melibatkan lebih daripada 3,100 pelajar di seluruh Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Ia bertujuan mewujudkan kesedaran tentang IR4.0 di kalangan pelajar dan menyediakan bakat di ECER dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memenuhi kehendak masa hadapan.

Program terbabit sedang dilaksanakan melalui satu siri webinar yang menyasarkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah program empower ECER di negeri-negeri ECER dan kini sedang berjalan sehingga 31 Julai 2021.

Selain itu, dapatan awal menunjukkan bahawa program perintis tersebut berkesan dalam menerapkan pengetahuan tentang IR4.0 di kalangan para peserta.

Kira-kira 740 peserta dan 12 jurulatih di enam lokasi di Terengganu iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Besut terlibat dalam program tersebut, yang akan berlangsung selama tiga minggu.


Tag: