• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Petai Bubus 'Raja Sungai Terengganu' 2023

KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Pasukan Petai Bubus muncul 'Raja Sungai Terengganu' bagi sukan perahu panjang apabila menewaskan pasukan Mahkota Dewa Gedong (Tanjung Sabtu) dalam perlumbaan akhir di Taman Tamadun Islam (TTI), semalam.

Pasukan Petai Bubus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500 manakala, Mahkota Dewa Gedong membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000.

Sementara itu, Banggol Peradong di tempat ketiga turut menerima hadiah bernilai RM500.

Perlumbaan sempena Festival Sukan Air Terengganu anjuran bersama Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) dan TTI itu menonjolkan antara sukan tradisi yang menjadi kebanggaan rakyat negeri persisir pantai itu sebagai salah satu acara dipertandingkan.

Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak berkata, acara berkenaan menjadi pembukaan kepada Festival Air Terengganu yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad.

"Kita sebagai pihak kerajaan negeri berharap sukan air ini akan lebih berkembang lagi.

"Kita akan cuba menghidupkan aktiviti dan karnival seperti ini tambahan pula, air memang sinonim dengan Terengganu sebagai negeri persisir pantai.

"Apa-apa sahaja berkaitan sukan air akan menjadi keutamaan kita untuk diberikan sokongan dalam apa jua bentuk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara perahu panjang.

Festival Air Terengganu memasuki hari kedua, hari ini akan menampilkan acara utama iaitu perlumbaan jet ski melibatkan lebih 40 pasukan seluruh negara.

Sembilan kategori akan dipertimbangkan melibatkan dua jenis perlumbaan iaitu Cross Course dan Endurance.

Selain itu, pertandingan memancing, perlumbaan perahu layar dan pelbagai acara sukan air turut diadakan.

 

 


Tag: