• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

PETRONAS Sumbang Keperluan Hari Raya Kepada 1,100 Keluarga Kurang Bernasib Baik Di Pantai Timur

KEMAMAN, 24 April- Yayasan PETRONAS meneruskan tradisi menyemarakkan kemeriahan lebaran melalui Program Sentuhan Kasih Aidilfitri dimana tahun ini melalui penyampaian sumbangan kepada 1,100 keluarga kurang bernasib baik di Terengganu, Kelantan dan Pahang.  
 
Sumbangan di Terengganu disampaikan oleh Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun, di dalam satu majlis ringkas di Kemaman, baru-baru ini.

Menurut M Ahmad Shazly, Sumbangan tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan PETRONAS untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.

 “Dua tahun menghadapi pandemik jelas memberi kesan kepada sebahagian rakyat Malaysia. Walaupun negara kini sedang berada dalam fasa peralihan ke endemik, namun kenaikan harga barangan sedikit sebanyak menimbulkan beban terutama di musim perayaan. Oleh itu, kami berharap agar sumbangan ini mampu meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan disamping membantu menceriakan mereka sempena hari raya yang bakal menjelang,” ujarnya.

Katanya, Program Sentuhan Kasih Aidil Fitri pada tahun ini, melibatkan perbelanjaaan sejumlah RM927,422 yang disampaikan kepada 3,900 keluarga B40 di 13 buah negeri dan dua wilayah persekutuan di seluruh negara. 

“Daripada jumlah itu, seramai 400 keluarga B40 di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu menerima sumbangan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat di setiap daerah terbabit.  

“Setiap keluarga terpilih, menerima sumbangan berupa hamper barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum, pes rendang, nasi impit segera dan santan. 

“Manakala, sebagai langkah menangani ancaman pandemik, PETRONAS turut menyampaikan sumbangan Kit Kebersihan yang terdiri daripada pelitup muka, cecair sanitasi tangan dan tisu basah serta Kit Penjagaan iaitu kit ujian kendiri Covid-19,”ujarnya.

Menurut beliau, setiap keluarga juga turut menerima sumbangan biskut raya yang disediakan khas oleh peserta Program MEKAR (Memampankan Ekonomi Asas Rakyat) anjuran Yayasan PETRONAS yang merupakan salah satu daripada usaha PETRONAS membantu meningkatkan taraf kehidupan usahawan Industri Kecil dan Sederhana. 


Tag: