• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

PETRONAS Taja 107 Pelajar Terengganu Cemerlang SPM

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Seramai 107 pelajar di Terengganu yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima penajaan pendidikan PETRONAS melalui Program Memperkasakan Ilmu Penajaan Pendidikan PETRONAS 2023.

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly berkata, mereka adalah sebahagian daripada 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 seluruh negara yang menerima penajaan bernilai RM 340 juta.  

"Program Memperkasakan Ilmu Penajaan Pendidikan PETRONAS merupakan komitmen berterusan PETRONAS di dalam aspek Pembangunan modal insan.

“PETRONAS yakin bahawa pelaburan di dalam bidang pendidikan melalui akses kepada pendidikan berkualiti, bukan sahaja mampu membantu menghasilkan tenaga kerja profesional, bahkan juga menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan,”ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis penganugerahan disampaikan oleh Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh di dalam satu majlis yang diadakan di ibu negara. 

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu, Dato’ Haji Ishamudin Hashim.

Menurutnya lagi, setiap penerima terpilih, akan menerima tajaan pengajian asasi sehingga ijazah pertama di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, China, Jepun, dan Korea Selatan.

“Mereka yang terpilih bakal mengikuti kursus di dalam bidang Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Petroleum, Kejuruteraan Mekanikal, Geofizik, Perakaunan, Pemasaran dan Undang-undang. 

“Selain daripada itu, PETRONAS juga telah memperluaskan penajaannya merangkumi bidang Sains Data, dan Kejuruteraan Data,”ujar beliau.

Tambahnya, semenjak dilaksanakan pada tahun 1975, secara keseluruhannya PESP telah memberi manfaat kepada lebih daripada 38,000 orang pelajar dengan nilai perbelanjaan lebih RM3.5 bilion.