• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PKMD Bukit Besi Bantu Perkembang Usaha 'Mok Joh'

Ghazali mendengar penerangan Mok Joh berkenaan ternakan ayamnya.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 7 Julai - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (PKMD) Bukit Besi mahu membantu ‘Mok Joh’ atau nama sebenarnya Mek Jah Razab, 59, seorang usahawan penternakan bagi mengembangkan perusahaannya.

Sehubungan itu, Pegawai Penyelarasnya, Haji Ghazali Sulaiman merujuk beberapa agensi dan jabatan yang sesuai bagi membantu ibu tunggal itu membela nasib dan kehidupannya.

"Jika kena pada gayanya, bantuan dari jabatan dan agensi tertentu turut mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk lain yang tinggal berdekatannya.

"Bagaimanapun, saya akan cuba dahulu kemukakan kepada pihak berwajib,” katanya ketika mengunjungi wanita berkenaan di reban peliharaannya, di Kampung Minda, baru-baru ini.
Ghazali melihat potensi perusahaan yang boleh dikembangkan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Menurutnya, Mok Joh tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini selain kebenaran mengusahakan tanah yang diberikan oleh pejabat daerah.

Setakat ini, pemegang Sijil Keusahawanan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)
itu memelihara kira-kira 1,000 ekor ayam daging dan mengusahakannya bersama adiknya, Rashid Razak, 55 tahun.

Bagi Mok Joh pula, kerana kurang kemampuan dan tidak dibenarkan membangun binaan kekal di tanah berkenaan, dia sanggup bermalam di sebuah bangsal berhampiran bagi memastikan ayam-ayam peliharaannya selamat daripada ancaman sejak lima tahun lalu.

Katanya, dia sanggup berhadapan risiko diganggu haiwan liar demi meneruskan kelangsungan mata pencariannya itu.
Mok Joh menunjukkan surat kebenaran penggunaan tanah oleh pejabat daerah.
“Sering kali juga saya bertembung dengan ular sawa yang cuba mengganggu haiwan peliharaan saya, kadang-kadang ada yang sebesar peha.

"Pernah juga, satu malam saya terdengar ayam begitu bising, saya nekad pergi ke reban ayam dan bertembung dengan haiwan liar yang tidak dapat dikenal pasti,” katanya.

Bagaimanapun, diakui, kejadian itu tidak sesekali mematahkan semangatnya. 'Mok Joh' amat berterima kasih atas keprihatinan Ghazali turun ke lapangan meninjau hasil usahanya itu.

"Alhamdulillah, ayam baru sudah dibeli dan sekarang ini proses membersihkan semula reban.

“Saya menjual ayam mengikut kehendak pelanggan, ada yang ingin kita proses, ada yang ingin membeli hidup-hidup," katanya.



Tag: