• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PKPD Di Kampung Tajin Bermula 12 Jun

HULU TERENGGANU, 10 Jun - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Tajin, Kuala Berang bermula 12 Jun sehingga 25 Jun 2021.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat susulan penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Katanya, sehingga kini, seramai 502 individu telah disaring dan daripada jumlah itu 31 dilaporkan positif COVID-19 dengan kadar positiviti direkodkan ialah 6.17 peratus.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti dan kampung lain," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, yang dijadualkan tamat pada 11 Jun 2021 (11.59 malam), seperti yang dijadualkan.

Ismail berkata, keputusan ini diambil setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM.

Tambahnya, sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 946 ujian saringan dan 62 daripadanya disahkan positif COVID-19.

KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.


Tag: