• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

PMINT Perkenal Dream Home Di KP Perdana, Seberang Paka


PMINT memperkenalkan satu pakej pembangunan istimewa `Dream Home', yang menawarkan lot banglo di kawasan perdana KP Perdana, Kuala Terengganu dan Seberang Paka, Dungun di ekspo PMINT Property Fest 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Samiun Salleh berkata, ekspo enam hari bermula 30 September lalu, di PB Square, Kuala Terengganu menawarkan kediaman impian yang berkonsepkan ‘buy & build’ kepada pembeli pada harga yang kompetitif.

“PMINT Dream Home adalah kediaman ideal yang berinspirasikan kepada gaya hidup urban yang memaparkan trend semasa rekaan moden, praktikal dan damai dengan persekitaran yang lengkap serta kemudahan infra dan prasarana,”katanya ketika perasmian ekspo berkenaan di PB Square, Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Usli Abdullah
Samiun berkata, banyak kelebihan memiliki rumah berkenaan kerana lokasinya yang strategik, memberi peluang kepada pelanggan untuk memilih reka bentuk rumah, yuran guaman perjanjian jual beli dan pindah milik secara percuma, kelulusan pelan akan diuruskan serta memberi jaminan siap dalam tempoh yang ditetapkan.

“Tawaran ini hanya terbuka semasa ekspo dijalankan sahaja, jadi rebutlah peluang untuk memiliki kediaman yang menawarkan kehidupan selesa dan kondusif untuk kesempurnaan dalam kehidupan. Malah, untuk 15 orang terawal akan diberikan rebat kos pembinaan bernilai RM10,000 dan RM1,000 untuk barangan elektrik,”katanya.

Seorang pembeli Dream Home berkenaan, Mohd Usli Abdullah, 55, berkata dia pernah membeli rumah yang ditawarkan oleh PMINT sebelumnya dan berpuas hati dengan konsep kediaman berkenaan.

“Ini adalah kali kedua saya membeli rumah yang ditawarkan oleh PMINT, bagi saya, rumah yang ditawarkan ini mempunyai struktur yang tersusun. Malah, harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding harga pasaran,”katanya.

Tag: