Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober – Hujan lebat serta ribut menyebabkan pokok tumbang menghempap sebuah kereta selain menghalang laluan dalam kejadian di Jalan Sultan Mahmud berhampiran Jambatan Kuala Ibai malam tadi.
Ketika kejadian, pemandu kereta berkenaan, Shahriza Abdullah, 37, bersama isteri dan dua anaknya dalam perjalanan dari Marang menuju ke Kuala Terengganu.
Isteri Shahriza telah mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sebuah jentera bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 malam.
Katanya, kedua-dua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan mereka dengan bantuan orang awam sebelum bomba tiba.
"Kejadian itu turut menghalang pergerakan lalu lintas kerana pokok berkenaan tumbang dan melintang di tengah jalan.
"Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk kerja-kerja pembersihan pokok berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Mohd Izzat Abdullah turut meninjau keadaan mangsa di HSNZ.
“Saya bagi pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk mengambil maklum tentang kejadian ini dan akan mengambil tindakan susulan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya.