• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Polis Tingkatkan Sekatan Jalan Raya Sepanjang 'RXZ Members'

KUALA TERENGGANU, 9 September - Polis akan meningkatkan sekatan jalan raya (SJR) sempena dengan program RXZ Members yang akan diadakan pada 13 dan 14 September ini.

Seramai 101 anggota polis serta 50 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ditugaskan bagi memastikan keadaan jalan raya terkawal dan selamat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, adalah menjadi rutin dan kebiasaan bagi pihak PDRM dan JPJ mengadakan tugasan itu setiap kali acara tersebut diadakan.

Ujarnya, perancangan tugas selain SJR adalah meliputi 'eskot motoked VVIP', rondaan cegahan samseng jalanan dan risikan Op Samseng Jalanan 42.

"Kita tidak pakai istilah pukat, SJR ini adalah rutin yang perlu kita buat melibatkan seluruh daerah.

"Dengan jangkaan 80,000 yang akan hadir kita tidak mampu untuk melakukan pemeriksaan satu persatu, apa yang diharapkan adalah mereka yang hadir boleh mematuhi undang-undang itu sahaja.

"Sebab sebagai rakyat Malaysia yang memiliki motosikal kita harus mematuhi undang-undang jalan raya, kena ada lesen serta insuran dan mematuhi spesifikasi motosikal yang boleh dipandu di atas jalan raya." ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media sempena RXZ Members di Bilik Mesyuarat Utama IPK Terengganu, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, apa yang dilakukan adalah bertujuan mengekang kesalahan jalan raya.

"Sebelum ini  PDRM juga telah mengadakan sebanyak empat kali perjumpaan bersama pihak penganjur iaitu perjumpaan pertama pada 10 Ogos telah dipengerusikan oleh Ketua Jabatan Siasatan & Perundangan Trafik Terengganu, Supt. Affandi Hussin dan turut disertai oleh semua Ketua Polis Balai Daerah Kuala Terengganu.

"Juga melibatkan pihak JPJ Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Pejabat Daerah Kuala Nerus dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2)," katanya.

Dalam pada itu katanya mengikut arahan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman masih lagi dalam tempoh pelaksanaan Ops Khas Motorsikal bagi mengurangkan kadar kemalangan.

Sementara itu katanya antara kesalahan yang sering dilakukan adalah seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran fancy, tiada cermin sisi, pengubahsuaian motosikal dan kenderaan tiada cukai jalan dan insuran.

"Kesemua kesalahan ini jika dikenalpasti, maka pemandu kenderaan akan dikenakan saman," tegasnya.