• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Portfolio Pertanian Terima Suntikan Dana Sebanyak RM10.07 Juta

MARANG, 28 Mei - Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri Terengganu mendapat suntikan dana sebanyak RM10.07 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Exconya, Dr Azman Ibrahim berkata, dengan sumbangan kerajaan persekutuan ini, pelaksanaan projek akan dipercepatkan dan memberi manfaat langsung kepada nelayan.

"Kita dapat daripada Kementerian Ekonomi  di bawah dana jaminan  Pelaksanaan Makanan kerjasama di antara Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan dan kerajaan negeri untuk pelbagai projek.

"Dan program yang akan dilaksanakan  pada tahun ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) Wakaf Unjam Lambaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Pangkalan Nelayan Merchang, Marang, pada hari ini.

Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama ini yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat, terutama nelayan.

"Antara projek tersebut ialah, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk program tukun tiruan.

"Kita dalam proses perolehan sekarang ini dan dengan jumlah wang RM3 juta, kita dapat menyiapkan 100 tukun untuk  menjayakan program garis sempadan  tukun," ujarnya.

Beliau menambah, sasaran setiap 245 kilometer sepanjang perairan Terengganu diletakkan satu kelompok tukun berjumlah lapan hingga sepuluh unit.

"Jadi dengan sumbangan Kerajaan Persekutuan ini akan mempercepatkan lagi dan kita ucap terima kasih di atas  kerjasama, insya-Allah akan beri manfaat langsung kepada nelayan," tambah beliau.

Selain projek tukun tiruan, dana ini juga akan digunakan untuk pembaikan reban ayam, naik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan  
dan beberapa program lain yang akan dilaksanakan sepanjang tahun.


Tag: