• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Prestasi ‘Yo-yo’ TFC, PBSNT Kaji Tindakan Serius


Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memandang serius prestasi pasukan Terengganu FC (TFC) yang tidak menentu kebelakangan ini.
Presiden PBSNT, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau bimbang dengan prestasi pasukan yang 'terumbang-ambing' dan ia boleh menjadi lebih serius jika tiada sebarang tindakan diambil.
Jelas beliau, pengurusan PBSNT akan mengadakan perbincangan mendalam dengan pihak kejurulatihan pasukan bagi mencari mekanisme terbaik untuk kembali digeruni pasukan lawan.
“Saya rasa semua pihak merasa kecewa (dengan prestasi TFC), kita akan tengok balik apa sebenarnya yang berlaku, kita akan tengok balik keseluruhannya.

“Kita tidak ragu-ragu tentang jurulatih kita, kita akan kaji di mana kesalahan strategi dan apakah perkara-perkara yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi ini, kita akan tangani perkara ini dengan serius,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

TFC mendahului PJ City FC dengan jaringan 3-0 pada separuh masa pertama.
Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) semalam, TFC terus dihimpit kekalahan apabila ditewaskan oleh PJ City FC dengan jaringan 3-5 meskipun mendahului 3-0 pada babak pertama perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan TFC jatuh tangga kelapan Liga Super dengan kutipan 16 mata di bawah Melaka United FC (MUFC) selepas mengharungi 13 perlawanan.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang tindakan sebelum mendapatkan penjelasan terperinci mengenai masalah yang dihadapi TFC sehingga mempamerkan prestasi yang tidak menentu.

“Justeru, kita akan cari jalan untuk meminimakan kelemahan pasukan, kita akan buat ‘post morterm’, kita juga sentiasa berbincang dengan pihak kejurulatihan, pertemuan nanti kita akan bincang dengan lebih serius sebelum membuat tindakan lanjut,” tambah beliau lagi.



Tag: