KUALA TERENGGANU, 12 April - Bersempena kedatangan bulan Ramadan, Primula Beach Hotel meraikan seramai 50 orang anak yatim termasuk guru pengiring dari lima buah sekolah sekitar daerah Kuala Terengganu
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, Majlis Berbuka Puasa bersama Anak Yatim merupakan acara tahunan yang diadakan bagi meraikan anak-anak yang telah kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya.
Katanya, ini merupakan usaha pihak hotel untuk menyemarakkan harapan dan keceriaan dalam kalangan kanak-kanak yang tidak bernasib baik membawa mereka menikmati majlis berbuka puasa yang penuh kemeriahan ini.
"Saya berbesar hati kerana tahun ini dapat meneruskan majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak yang kurang bernasib baik...melalui usaha ini sekurang-kurangnya keceriaan dapat dikongsi bersama sekali gus peluang untuk mereka menikmati Ramadan dengan penuh bermakna,"
“Selain menjamu selera, Primula Beach Hotel juga berbesar hati memberi sumbangan berupa ‘Duit Raya’ bukan sahaja untuk anak-anak yang istimewa ini malah juga untuk golongan ibu bapa tunggal dan asnaf dikalangan warga kerja hotel,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Primula turut meraikan 25 anak-anak istimewa dan 15 pengiring dibawah jagaan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sungai Rengas.
Tambah Suaibah, beliau berharap program ini dapat menjadi platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara anak-anak istimewa juga wakil persatuan bersama Primula Beach Hotel untuk jangka masa yang berterusan.
“Tangan yang memberi sememangnya lebih baik daripada yang menerima. Ketika tangan yang menerima rasa terharu dan gembira, tangan yang memberi turut bahagia.
“Biarpun ia berpaksikan kepada tanggungjawab korporat sosial, tiada yang lebih bahagia apabila melihatkan golongan kurang bernasib baik menerima bantuan dan kegembiraan sepatutnya,”ujarnya.