• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Primula Raih Anugerah di IDEA Award 2023

KUALA TERENGGANU, 5 November - Primula Beach Hotel melakar satu lagi sejarah apabila meraih anugerah 'Consumer Choice Brand' pada malam Anugerah Usahawan Berprestij Islam (IDEA Award 2023).

Pengurus Besar, Suaibah Harun berkata Anugerah IDEA Award 2023 menjadi platform yang luar biasa untuk mengiktiraf usaha cemerlang usahawan Muslim di Malaysia, serta menyokong pertumbuhan perniagaan komuniti Muslim
yang cemerlang dan berdaya saing.

Katanya, anugerah tersebut bukan sahaja milik Primula Beach Hotel tetapi juga tanda kejayaan bersama sebagai salah satu anak syarikat milik kerajaan negeri.

"Keunikan anugerah ini tidak hanya mengiktiraf pencapaian dalam bidang perniagaan, tetapi juga menilai kesediaan usahawan terbilang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT melalui perniagaan.

"Sekali gus dalam usaha memenuhi tuntutan fardhu kifayah dengan menyediakan perkhidmatan serta manfaat kepada seluruh masyarakat," katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Anugerah berprestij ini dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Muslim Insiders dan diadakan di Hotel St Regis Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Pemenang anugerah menerima trofi dengan ukiran khat 'Mari Menuju Kejayaan' sebagai simbolik pencapaian cemerlang mereka dalam dunia perniagaan. 

IDEA Award 2023 bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada usahawan Muslim yang telah mencapai tahap keunggulan luar biasa dalam pelbagai sektor ekonomi. 

Anugerah ini juga memupuk kerjasama dengan pemilik perniagaan bukan Islam yang
mengamalkan ciri-ciri 'Muslim-friendly businesses'.