• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Produk Pelancongan Terengganu Hebat, Umpama Level International'

KUALA TERENGGANU, 29 Mei- Itu kekaguman disuarakan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah, Sunita Abdul Aziz yang bersama sekitar 50 pegawai Pejabat SUK Negeri Kedah dalam kunjungan ke Kampung Budaya Terengganu, hari ini.

Berpeluang turut serta ke sebahagian siri lawatan dalam Kunjungan Hormat Menteri Besar dan delegasi Negeri Kedah ke Terengganu, Sunita menyatakan banyak perkara baru dipelajari dalam kunjungan ke Kampung Budaya Terengganu.

"Ini pengalaman baru bagi kami. Apa yang kami pelajari (hari ini) adalah sejarah negeri dan kehidupan rakyat Terengganu, serta keseniannya yang menarik. Terima kasih pihak kerajaan negeri Terengganu.

Sunita cuba memegang gasing terbang Terengganu.

"Secara peribadi, saya tengok produk-produk pelancongan Terengganu sangat hebat, kita tengok pemasarannya seperti di peringkat antarabangsa, pengunjung yang datang pun boleh belajar perkara baru seperti seni Telepuk yang berusia ratusan tahun, yang dibawa keluar dari istana dan ditunjukkan kepada umum supaya orang ramai menghargai kesenian Melayu yang sangat halus serta berkualiti.

"Saya amat berharap kami dapat belajar serta bawa pulang apa yang dipelajari untuk meningkatkan upaya dan tambah baik terutama dalam industri pelancongan," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang mengiringi delegasi berkenaan, berbesar hati dapat berkongsi produk-produk yang ada di Kampung Budaya Terengganu.

"Hari ini, kita berpeluang berkongsi dengan sahabat dari Kedah tentang cara kita menggerakkan agenda pelancongan di negeri Terengganu ini. Kedua-dua negeri sebenarnya berkongsi, tetapi memiliki kelainan dan produk tersendiri.

"Di Terengganu ini kita kaya dengan budaya, jadi kita mempromosikan bagaimana menjadikan Kampung Budaya sebagai teras untuk para pelancong yang datang, sebelum bergerak ke tempat lain bagi mengenali dan mempelajari budaya Terengganu.

"Daripada kita bersaing dan rugi, sebaliknya kita boleh berkongsi mempromosikan kelebihan produk masing-masing. Kalau orang ke Kedah mereka dapat menyaksikan sesuatu produk hebat, mereka juga boleh datang ke Terengganu dan menyaksikan produk berlainan. Apa yang penting kita boleh berkongsi pengalaman, pengetahuan dalam memperkaya dan mengembangkan agenda pelancongan negeri," katanya.

Turut hadir dalam program terbabit ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid Jusoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Manusia dan Integriti), Dato' Hadi Hassan dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.

 


Tag: