• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Projek KT-Bypass : Kerajaan Negeri Pertimbang Tuntutan Penduduk - MB Terengganu

Dr Ahmad Samsuri (tengah) serius mendengar aduan penduduk mengenai masalah Projek Bypass Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Tuntutan sekumpulan penduduk yang terbabit dengan Projek Bypass Kuala Terengganu (KT-Bypass) sekali lagi akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dipertimbangkan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendengar semua persoalan yang ditimbulkan penduduk berkenaan dalam satu pertemuan di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk dan ianya akan dibawa kepada pertimbangan majlis mesyuarat itu tidak lama lagi.

Katanya, kerajaan negeri tidak menetapkan sama ada semua tuntutan penduduk itu dapat ditunaikan tetapi kerajaan ingin mendengar pandangan ahli mesyuarat tersebut terlebih dahulu bagi melihat sama ada permohonan penduduk tersebut boleh dipertimbangkan atau sebaliknya.

"Bagaimanapun setakat perbincangan yang dibuat hari ini, kerajaan negeri melihat tiada jalan mudah untuk selesaikan masalah penduduk berkenaan memandangkan projek itu di bawah kendalian Kerajaan Persekutuan.

MB (dua dari  kiri) bersama penduduk Durian Burung sebelum memulakan perbincangan mengenai Projek Bypass Kuala Terengganu.
"Kita tengoklah bagaimana tuntutan itu boleh dipertimbangkan dalam MMKN, sama ada sebahagian tuntutan boleh ditunaikan atau sebaliknya kekal dengan keputusan sebelum ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada penduduk tersebut selepas perbincangan kira-kira sejam di kediaman itu hari ini.

Penduduk tersebut menuntut supaya kerajaan negeri membayar sejumlah RM5.6 juta kepada sekumpulan pemilik tanah yang bermasalah dan terlibat dengan pengambilan tanah untuk projek berkenaan.

Penduduk terbabit telah menerima seratus peratus bayaran pampasan 'ex-gratia' berjumlah kira-kira RM100 juta dari peruntukan RM168 juta untuk pembinaan projek berkenaan.
 
Seorang penduduk  mengemukakan masalah tuntutan pampasan tanah Projek Bypass Kuala Terengganu.
Bagaimanapun penduduk berkenaan masih tidak berpuas hati kerana bayaran itu tidak menepati nilai sepatutnya dibayar berdasarkan kepada nilaian harga tanah semasa.

Kes tuntutan itu telah dibawa ke mahkamah tetapi hakim menolak semua tuntutan mereka.

Projek KT-Bypass bermula di persimpangan Kampung Tok Molor Jalan Tok Adis ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan yang menghubungkan Kota Bharu dan Kuala Terengganu.
Kos keseluruhan projek itu adalah sebanyak RM321.9 juta iaitu meliputi kos pembinaan RM168 juta dan pengambilan tanah RM154 juta. Ia dijangka siap selewat-lewatnya Julai tahun depan, kira-kira enam bulan lebih lewat dari jadual asal iaitu Januari 2019.
Bagaimanapun projek itu masih belum siap kerana beberapa sebab termasuk masalah tuntutan pampasan tanah penduduk.
Projek KT-Bypass itu terpaksa dipendekkan jarak hingga ke simpang lampu isyarat Kampung Cabang Tiga sahaja kerana sebahagian wang untuk pembinaan projek itu digunakan untuk membayar pampasan ex-gratia penduduk.




Tag: