• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Projek Muara KTCC Bakal Dibangunkan Dengan Lebih Teratur

KUALA TERENGGANU, 11 April - Sebarang projek Muara Kuala Terengganu City Centre (KTCC) bakal dibangunkan mengikut Pelan Tindakan Khas supaya lebih teratur bagi memastikan pembangunan yang seimbang dan moden.

Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya komited dalam meningkatkan potensi pembangunan dan pertumbuhan ekonomi khususnya bagi menjadikan muara KTCC sebagai sebuah zon khas ekonomi, kawasan pembangunan pelaburan berimpak tinggi di Terengganu.

"Oleh sebab itu, Pelan Tindakan Khas yang bermula beberapa bulan lepas telah diperhalusi dari susun atur supaya menjadi panduan utama dalam pelaksanaan perancangan dan kawalan pembangunan bagi kawasan muara KTCC tidak caca marba (tidak teratur).

"Kesemua pembangunan mesti diambil kira terutama susun atur dan ketinggiannya supaya tidak menenggelamkan jambatan ikonik iaitu jambatan angkat Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pelan Tindakan Khas Muara KTCC ( Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Dan Lanskap) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tujuh agensi yang terlibat ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).

Tambahnya, penyediaan kajian di kawasan seluas 255 hektar melibatkan tiga presint utama iaitu hiburan dan riadah, pusat perdagangan serta warisan dan budaya sebagai bandar pesisir air yang dinamik, berdaya huni dan mampan.

Ahmad Samsuri juga berkata, pihaknya akan mengutamakan pelabur-pelabur daripada syarikat-syarikat swasta terlebih dahulu kerana faktor kos kewangan yang tinggi bagi tujuan tersebut.

"Kalau ada, mungkin anak syarikat seperti Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan LTAWNT yang akan bekerjasama membangunkan projek di situ," katanya.